Ramadhan kita...Ramadhan mereka


Segala puji bagi Allah SWT yang telah memanjangkan usia menemui Ramadhan tahun yang ini penuh bermakna. Salam dan selawat terhadap Junjungan Mulia Rasulullah SAW yang telah memberikan teladan mulia yang berkekalan. Seterusnya buat para sahabat RA, sekalian tabien dan para pendukung agama Allah SWT hingga ke hari kesudahan... Amma Ba'd.

MASA... ADAKAH ALASAN UNTUK MENGABAIKANNYA?

Umat Islam telah terdidik oleh Allah SWT untuk sentiasa sensitif dengan masa. SumpahNya kepada beberapa perkara di dalam Al-Quran adalah sebagai isyarat besar akan kepentingannya. Allah SWT bersumpah dengan masa di dalam begitu banyak ayat Al-Quran sebagaimana firmanNya di dalam Surah Wal-Asr (Masa), Al-Fajr (Waktu Fajar), Al-Lail (Waktu Malam), Ad-Dhuha (Waktu Dhuha) dan sebagainya. Begitu juga, beberapa hari di dalam kalender Islam dimuliakan Allah SWT dengan kelebihan-kelebihan tertentu sebagaimana disunatkan kepada kita untuk melakukan ibadat-ibadat tertentu seperti berpuasa pada hari Isnin dan Khamis dan lain-lain. Apatah lagi jika persoalan bersolat fardhu lima waktu diutarakan, semestinya tiada alasan untuk para muslimin mengabaikan kepentingan masa kerana seluruh hidupnya telah diprogramkan oleh Allah SWT agar sentiasa berhubung kait dengan masa. Lantaran kesedaran inilah generasi Islam di masa lampau mencapai kegemilangan kerana motivasi Allah SWT di dalam Surah Asy-Syarh (94) ayat 7:


"Dan apabila kamu telah selesai (melakukan sesuatu perkara), maka hendaklah kamu( terus bersegera) melakukan (perkara) yang lain pula..."

TAWARAN ISTIMEWA RAMADHAN MULIA

Ramadhan kembali muncul membawa janji-janji Allah yang tidak mungkin terabai oleh mereka yang sedar lagi berfikir. Alangkah adilnya Allah SWT, dijadikanNya kita ini tidak segagah dan sepanjang usia umat-umat yang terdahulu, tetapi diberikanNya saham pelaburan yang mudah untuk melipatgandakan amalan. Hanya dengan mengeluarkan secebis tenaga meredah kemalasan menuju ke masjid untuk solat berjemaah, digandakanNya pahala sebanyak 25 atau 27 kali ganda. Maka Ramadhan pula muncul dengan gandaan-gandaan yang lebih besar dan utama, terutamanya malam Lailatul Qadar yang disebut sebagai lebih utama dari kebajikan 1000 bulan atau kira-kira 83 tahun! Amalan-amalan yang lain pula diberikan pahala sebanyak 10 kali ganda berbanding dengan amalan yang sama tetapi dilakukan di luar bulan Ramadhan. Allah Yang Maha Kaya... pemberian yang tidak menyusutkan keagungan, kurniaan yang tidak mengurangkan perbendaharaan.

Walau bagaimanapun, soal banyak mana Allah SWT mahu memberikan kelebihanNya kepada kita adalah soal kedua. Imam Al-Ghazali di dalam kitab kecilnya yang bermakna besar menyebut tentang perihal pentingnya kita meninggalkan 'khulasatul 'amal' iaitu dengan melakukan ibadat sebanyak-banyakkan tanpa dihitung berapa atau banyak mana yang akan diperolehi. Janji-janji Allah itu sepatutnya lebih dilihat sebagai targhib (galakan) untuk kita memanfaatkan bulan tarbiah, madrasah Ramadhan ini.

LAPAR DAHAGA MELEMAHKAN UMAT?

Suatu ketika seorang pemimpin di salah sebuah negara Arab Afrika Utara menuduh bahawa puasa Ramadhan mengurangkan daya kerja rakyatnya lantas menjejaskan produktiviti negara. Tuduhan itu tidak bersendirian menempelak umat bahkan kita biasa mendengar di penjuru-penjuru alam, ramai yang menjadikan hawa nafsu sebagai Ilah selain Allah, mempersalahkan Ramadhan secara peluru tabur tanpa menetapkan sasaran yang betul. Dakwaan seumpama ini bukan sahaja datangnya dari orang yang jahil hidayah atau buta petunjuk, bahkan mereka menafikan bukti sejarah yang tidak pernah menipu.

Jika direnung kepada sejarah umat Islam, ternyata bulan Ramadhan adalah di antara bulan yang paling banyak mencatat kegemilangan dan kemenangan. Sekadar menyebut beberapa contoh, Ramadhan telah menyaksikan kemenangan Islam di dalam Peperangan Badar Al-Kubra, Pembebasan Palestin oleh Salahuddin Al-Ayyubi, kemenangan Saifuddin Al-Qatz di dalam peperangan 'Ain Jalut bahkan lebih awal dari itu, bumi Andalus menerima kunjungan petunjuk dan rahmat Islam dengan kemenangan Tariq bin Ziad bersama tenteranya.

Umat Islam sejak zaman berzaman adalah umat yang kecemerlangan dan kekuatannya tidak diukur pada tubuh badan, bilangan atau apa-apa yang bersifat material dan fizikal. Semakin ia kurang melelapkan mata pada waktu malam, semakin gagah ia berjuang di siang harinya. Semakin ia tidak menyahut rengek-rengek perut seketika dalam sehari, semakin ia mara ke medan kejayaan. Begitulah kehebatan umat Rasulullah SAW, hanya yang meneropong dengan kacamata Islam sahajalah, mampu memahami hakikat ini.

MENGAPA RAMADHAN KINI BERBEZA?

Dalam kebanggaan kita menjunjung realiti sejarah, fikiran tidak pula lupa melontarkan persoalan mengapa semua itu tidak kelihatan di hari-hari kita kebelakangan ini. Jika dulu umat yang sama membuka lembaran-lembaran sejarah penuh gagah di bulan Ramadhan, umat hari ini ditimpa bencana yang tidak kesudahan. Lihat sahaja pada bulan Ramadhan 1414H, sejumlah umat Islam yang sedang bersujud menunaikan solat Subuh di pagi Jumaat yang mengheningi Masjid Ibrahim Al-Khalil, Palestin, mereka telah ditembak mati oleh tentera-tentera Yahudi tanpa belas kasihan. Reaksi umat pula hanyalah kemarahan sementara sambil menurunkan tiang separuh bendera!

Sesungguhnya Ramadhan tidak pernah berbeza. Janji Allah tidak pernah berubah. Maka yang kini sudah tidak seperti dulu, adalah kita sendiri. Betapa hari ini kualiti kita sudah tidak sehebat umat silam, walaupun kuantitinya mungkin menggerunkan catatan statistik kira-kira. Semakin banyak makanan, umat semakin lapar. Semakin banyak kekayaan, umat semakin faqir kedana. Semuanya itu adalah berpunca daripada tersasarnya kita dari matlamat sebenar. Kita bagaikan anak panah yang dilancarkan dari panahan yang sama, tetapi tersasar tuju ke kesudahan yang berlainan.

PESTA PAHALA ATAU PESTA SUKARIA?

Jika dulu, Nabi SAW hanya berbuka dengan butiran tamar dan sesekali dengan tegukan susu, kini kita jauh berbeza, mengejar iftar di masjid termewah. Solat tarawih mencari masjid terpantas atau mungkin terpendek, moreh mencari hidangan terlazat lagi percuma. Itulah sahaja tajuk perbualan di saat-saat detik masa mendekati waktu berbuka, maka akhirnya kekenyangan lantas mendirikan qiyam Ramadhan dengan penuh kemalasan dan sambil lewa.

SYUKUR SEMUANYA BELUM TERLAMBAT

Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna pernah menyebut di dalam muqaddimah kitab kecil karangan Abbas As-Siesie bertajuk At-Thariq ila Al-Qulub (Jalan Menuju ke Hati):

"Wahai saudara, janganlah kamu berputus asa. Sesungguhnya berputus asa itu bukanlah akhlak muslimin. Hakikat yang ada pada hari ini adalah mimpi semalam, manakala mimpi hari ini bakal menjadi hakikat esok. Pihak yang lemah tidak akan lemah selamanya kerana yang kuat itu akan beransur-ansur menjadi tua dan uzur. Setiap makhluk ada ajalnya maka setiap kezaliman ada kesudahannya!"

Maka tidak ada istilah sudah terlewat di dalam kamus kita, melainkan setelah nyawa sampai ke halqum atau mentara terbit di barat sana. Tidak ada kemustahilan untuk kita mengembalikan kegemilangan Islam yang lampau, asalkan kita menjejaki perjalanan mereka berbekalkan apa yang telah memajukan mereka.

MADRASAH RAMADHAN UNTUK TAQWA, JIHAD DAN KEMENANGAN

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 183:


"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu termasuk di dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa"

Perkataan 'semoga' di dalam ayat di atas sepatutnya menggerunkan kita, bahawa dengan melaksanakan ibadah puasa, mungkin sebahagian beroleh taqwa dan mungkin pula sebahagian yang lain hanya mewarisi lapar dan dahaga. Sabda Nabi SAW: "Berapa ramai di kalangan orang yang berpuasa, tidaklah mereka itu memperolehi apa-apa dari puasanya melainkan lapar dan dahaga." Sabda Nabi SAW lagi: "Jibril mendatangiku seraya berkata; 'Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan, lantas tidak mendapatkan ampunan, kemudian mati, maka ia masuk Neraka serta dijauhkan Allah (dari rahmat-Nya). 'Jibril berkata lagi;'Ucapkan amin' maka kuucapkan, 'Amin.' " (HR. Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah) Lantas dengan peringatan ini, marilah kita bersama-sama mengambil peluang yang ada sebaik-baiknya untuk memperolehi janji-janji Allah SWT di bulan Ramadhan ini. Dalam kesibukan kita melayani pengajian dan urusan-urusan seharian yang lain, janganlah diabaikan tanggunjawab menyediakan perbekalan di hari kemudian sebagaimana kata Saidina Ali RA: "Dunia adalah tempat beramal tanpa pembalasan, akhirat pula adalah tempat menerima pembalasan tanpa ada lagi peluang untuk beramal"

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

0 comments: